Daisypath Anniversary tickers

Thursday, May 30, 2013

PINGGIRAN PELANGI KENANGAN KAMI

PLKN
mudah dilafaz
tetapi sukar diungkapkan
di sinilah kami belajar kerjasama
di sinilah kami belajar kepimpinan
di sinilah kami belajar ketepatan masa

Penginapan di rimba bagaikan berkhemah
nyanyian merdu unggas kedengaran sayu tiap hari
beruk dan biawak peliharaan kami
walaupun jarang kami bersua

Sebelum fajar memanjat langit
kami bangkit dari lena
pemesar suara menjerit
bangun, bangun, bangun
gegas kami mempersiapkan diri
menghadap Ilahi

Terus ke padang kawad menjalani PT pagi
walaupun mata masih berat
terngiang-ngiang akan tilam dan bantal
kami tetap hadir
menjalankan tanggungjawab
walaupun terpaksa

Lompat bintang, tekan tubi, ketuk ketampi
sarapan harian kami
mencangkung dan jalan itik
pemanis mulut kami

Tiap hari, tiap masa
berbaris santapan kami
lambat seminit
hentak kaki empat penjuru alam kata Misuari

Di bawah pancaran mentari kami berkawad
menggelap kulit hobi kami
walau langkah tidak keruan
Cikgu Abu tetap menjadi jenaka

Seronok sangat sewaktu beriadah
kami bersepakat berlari-lari anak
mengejar Yamaha cup Cikgu Safar
demi mendapatkan sebatang ais krim
sementara menanti sebotol 100 plus
dari raga motor Cikgu Lan

Malam pula
kami sama-sama ke surau (bagi yang muslim)
maghrib dan isya' berjemaah
diselangi kuliah bagi santapan rohani
ada antara kami yang terlalu fokus
hingga ternganga mulut melayan lena
di sisi ustaz yang khusyuk melontar kata

Kadang kala kita bersedih
kadang kala kita berduka
tetapi itu semua manis dalam persahabatan
walaupun mulut tidak berbicara
namun mata telah bercerita
apa yang tersirat dalam hati

Hari ini
perginya seorang kawan
bukan kerana duka
perginya seorang rakan
bukan kerana lara
perginya seorang sahabat
bukan kerana hampa
tetapi
perginya seorag teman
kerana mengejar cita

Mungkin
inilah kali terakhir
pertemuan antara kita
pilu hati ini ingin melangkah pergi
meninggalkan sahabat baru
yang sentiasa di sisi
sepanjang berada di Pinggiran Pelangi

Sungguh
perpisahan itu perit
tak sanggup rasanya
menguraikan dakapan erat seorang teman
melepaskan genggaman tangan seorang sahabat
tak akan pernah aku lupakan
setiap detik suka duka kita
tak akan pernah aku hilangkan
kenangan indah yang kita cipta bersama

Berjanjilah wahai sahabat
jangan pernah kau cuba
memadam memori ini
jangan pernah kau cuba
membakar himpunan kisah kita
dan jangan pernah kau cuba
menokhtahkan persahabatan sampai di sini saja

Wahai warga Pinggiran Pelangi
sepuluh jari disusun rapi
memohon ehsan simpati
memaafkan kesilapan diri
andai tersilap kata
terluka hati
terumpat mulut
tersinggul bahu
terpukul badan

Terima kasih teman
kerana tetap di sisi
menyokong langkah longlaiku ini

Terima kasih cikgu
kerana tetap teguh berdiri
memberi tunjuk ajar
menegur kesilapan kami
mencangkungkan kami
demi memperbaiki kesilapan lalu

Terima kasih Sarjan
kerana menjaga kebajikan kami
sakit pening kami
demam pura-pura kami
terkehel seliuh tipu kami
demi mendapatkan tagging
dan merasa tidur berpenghawa dingin

Terima kasih Komandan
terima kasih TKL
terima kasih TKP
terima kasih staf pengurusan
kerana tetap setia di sini
melayani kerenah kami
selama kami berada Pinggiran Pelangi

Maafkanlah aku wahai teman
aku terpaksa pergi dulu
demi mencari pelita hidup

Wahai teman
inilah takdir kita
terimalah
sampai di sini sahaja pertemuan kita
perkenalan selama dua bulan
kita telah hidup bersama
baris bersama
cangkung bersama
PT 10 bersama
solat bersama
makan bersama
tidur bersama
guling bersama
semuanya telah kita lalui besama

Selamat tinggal
selamat tinggal warga Pinggiran Pelangi
moga kita bertemu lagi
di suatu masa nanti
selamat tinggal.

karya bersama Muhammad Shaiful Bahri dan Siti Sabariah
-22 MEI 2013-